BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday

Solok Lada


Semasa ke pasar Sabtu lalu, tiba-tiba ternampak olehku cili hijau yang boleh tahan besarnya... "Aha... boley buat solok ni", idea spontan muncul....;p

Dah lama tak buat solok. Kalau nak tunggu ada 'lada solok' (cili hijau dari Kelantan yang memang diberi gelaran lada solok), baru nak buat solok alamatnya kempunan la suami dan anak2ku nak makan solok lada....hahaha

So, hari tu terhidanglah Solok Lada sebagai salah-satu lauk dalam menu makan tengahari... mmmm....


Bahan2nya:

  • 6 cili hijau/lada solok
  • secawan kelapa parut muda
  • 1 ekor ikan kembong/2 ekor ikan sardin
  • 4 ulas bawang merah/1 labu bawang merah India
  • 1 ulas bawang putih
  • setengah inci halia
  • lada hitam 7 - 8 biji
Cara buat:
  1. Cili di belah tengah, buang biji lada kat urat tengahnya. Kemudian rendam seketika dalam air cuka.
  2. Kupas isi ikan mentah2.*tak payah direbus/panggang ikan, nanti hilang rasa manisnya *
  3. Tumbuk lada hitam, bawang merah, bawang putih dan halia.
  4. Campurkan kelapa dan isi ikan. Tumbuk lagi.
  5. Sesuaikan rasa dengan garam dan gula.
  6. Sumbatkan bahan2 yang dah siap ditumbuk ke dalam cili. Tekan2kan biar padat.
  7. Bila dah siap semua, susunkan dalam periuk. Masukkan sedikit santan pekat untuk tujuan merebus.
  8. Masak dengan menggunakan api yang sederhana pada mulanya dan kemudian kecilkan api bila solok lada dah hampir2 'sekhing'(masak sepenuhnya).
  9. Sedia untuk dihidangkan....
~~~~~~~~~~~~~~

Ini rupa Solok Lada pakai Lada Solok... Link nya di sini

Sebelum dimasak
Sedia terhidang di meja makan




Sunday

Tip membuat bawang goreng yang rangup


Bila sebut bawang goreng, mungkin ramai yang memilih untuk beli yang ready-made je sekarang ini. Tak dinafikan cara itu lebih mudah dan menjimatkan masa. Lagipun dah banyak dijual di pasaran dengan berbagai-bagai cap/jenama.

Namun jika tanya saya, saya lebih suka buat sendiri. Rasanya lebih sedap dan mutunya pula terjamin. Masakan kita akan rasa tambah sedap dengan adanya bawang goreng yang sedap. Jadi elok dikongsi cara untuk buat bawang goreng yang rangup ini dan bau pulak...wangiiii.....*kalau yang beli kadang berbau tengik dan tak berapa fresh*. Kerangupannya pula InsyaAllah akan lebih tahan lama kalau disimpan di dalam bekas yang kedap udara.

Mungkin ramai yang dah expert buat bawang goreng ini.... tapi mungkin juga ada yang belum dapat info tentang cara ini...Jom tengok camana....

Cara2nya ialah:

  1. Kupas bawang merah dan basuh bersih. Biarkan ia betul-betul kering baru dimayang halus.*saya selalunya membiarkan bawang kering sendiri dari pagi, masuk tengahari baru goreng*
  2. Selepas itu, gaul2kan bawang yang dimayang dengan sedikit garam.
  3. Panaskan minyak masak dan gorenglah dalam minyak penuh dan dengan api yang sederhana. Jangan selalu dikacau-kacau. Biarkan saja. Hanya bila nampak ada yang nak garing di tepi baru di tukar-tukarkan tempat dengan yang masih putih.
  4. Bila dah garing keseluruhannya, angkat dan sejatkan atas tisu tos makanan. Hasilnya nanti akan membuat kita tersenyum puas. Bawang goreng jadi sangat rangup dan sedap dimakan.

Thursday

Budu Durian


Oppps.... tertanya-tanya dalam hati, ok ke ni letak gambar budu durian ni dalam Menu? ...hehe Ok kot sebab mungkin ada yang tak biasa nak serve budu durian ni camane. Bagi yang tak tau, lebih kurang camni le gayanya.... ;D

Lagi pun, ada satu pengalaman tentang makan budu ni yang ingin dikongsi bersama. Al-kisahnya, ada lah seorang kawan kami yang berkunjung ke rumah satu waktu dulu. Beliau ini bukan kelantanese, jadi bila saya hidangkan budu durian sebagai pelengkap hidangan, beliau bukan main excited lagi nak cuba. Mula2 tu slow n steady je ikut cara kami lah, cicah-cicah budu tu dengan ulam-ulaman seperti pegaga, timun batang, kacang botol dan bendi yang dicelur. Tapi last2 guna sudu yang dalam mangkuk sayur lemak putih buat hirup budu tersebut. Alamak! Semua kami berpandangan sama sendiri... kemudian... semua pakat ketawa pecah berderai ... alahai.....

Bahan-bahannya:

  • Budu
  • durian 2, 3 ulas
  • cili api 5, 6 biji
  • Sehiris limau nipis/limau kasturi
Cara menyediakannya: Seperti yang tertera dalam gambar.....hehehe

p/s Sedap dicicah dengan ulam-ulaman dan juga ikan bakar tawar.




Monday

Gulai Ikan Masin

Saya selalunya namakan gulai ini dengan nama Gulai Kunyit Kkuah(gulai kunyit lengkuas maksudnya). Kalau time tak lalu makan nasi, sedap sangat kalau ada gulai ikan masin ni. Membangkitkan selera, orang kata... hehe

Sepanjang pengalaman tinggal di luar Kelantan selama lebih 17 tahun, dan berada pula dalam lingkungan kawan2 yang bukan dari kelate, maka ternyata berbeza cara masakan untuk memasak ikan masin ini. Kawan2 saya kebanyakannya masak ikan masin style masak lemak cili api dan juga masak kari. Jadi bila dah berkawan tu, mereka pun cuba2 la masak style saya pulak.... tukar2 menu gitu.... ;D


Bahan2nya:

  • Ikan masin selar kuning 6 ekor
  • santan RM1 @ tiga suku cawan(3/4 cawan)
  • cili kering 3 - 4 tangkai
  • bawang merah besar 1 labu
  • bawang putih 1 ulas
  • sedikit kunyit hidup
  • sedikit lengkuas
  • asam keping(asam gelugur)
  • garam
  • gula
  • jika suka tambahkan timun batang yang dipotong kecil2
Cara membuatnya:
  1. Ikan masin dibasuh bersih dan direbus sekejap. Bila menggelegak terus tutup api dan toskan ikan masin.
  2. Cili kering direndam dan dibersihkan. Kupas bawang, kunyit dan lengkuas.
  3. Sementara itu masak santan yang ditambah air sesuai dengan kuantiti ikan masin. Masukkan sesudu besar minyak masak. Biarkan masak dengan api yang kecil.
  4. Tumbuk cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit dan lengkuas.
  5. Masukkan bahan yang ditumbuk ke dalam periuk santan yang sedang dimasak.
  6. Masak hingga kuahnya sebati dengan api yang kecil.
  7. Masukkan ikan masin dan timun batang(jika suka) dan asam keping.
  8. Tambahkan sedikit garam sahaja kerana ikan masin dah sedia masin....hehe... kemudian masukkan gula.
  9. Dah siap pun.....sedia untuk dihidangkan...

Bubur Kacang


Bubur kacang ini memang jadi faveret anak2 selain dari bubur jagung dan pengat ubi. Jadi bila tiba time anak2 berkumpul tu, selalu lah juga saya buat bubur kacang ini sebagai Menu Petang. Bagi sesetengah orang, bubur kacang ini enak dimakan cicah roti. Biasanya kami makan macam tu saja. Dan satu lagi untuk lebih enak(jika suka), elok juga jika dimasukkan beberapa ulas durian ke dalam bubur kacang yang sedang dimasak. InsyaAllah rasanya lagi 'ada umph!!' (^-^)

Jom tengok bahan-bahannya:

  • 1 cawan kacang hijau
  • santan 2 cawan
  • 2 kerek manisan/gula melaka
  • sedikit gula putih
  • setengah sudu teh garam
  • 3 helai daun pandan
Cara membuatnya:
  1. Cuci kacang hijau bersih2 kemudian toskan.
  2. Goreng kacang hijau tanpa minyak hingga warna bertukar perang.
  3. Masukkan air dan rebuslah hingga betul2 empuk.
  4. Kemudian masukkan manisan/gula melaka
  5. Masukkan santan dan daun pandan.
  6. Masukkan garam dan tambahkan gula putih jika rasa masih kurang manis.

Wednesday

Gulai ayam


Kalau dekat Kelantan, biasanya kami tak panggil kari ayam sebaliknya gulai ayam. Kalau macam ikan tu adalah sebut kari ikan tapi bagi ayam dan daging biasanya semua panggil Gulai Ayam/Daging.

Teringat seorang kawan yang datang ke rumah satu ketika. Waktu itu saya sedang "bergulai". Jadi kerja dah jadi 2 in one lah, sambil layan kawan saya tu mata duk jeling2 sama dekat gulai atas dapur....hahaha.. Dah habih macam2 topic yang kami bualkan hinggakan kawan saya tadi tertanya2 langsung terus komen, "Hai lamanya kari tak masak2 lagi!" Hehe..... "Ohh memang nak masak ni makan masa sikit...", jawab saya sambil tergelak.

Bila gulai dah siap, terus saya cedukkan masuk dalam mangkuk nak bagi kawan tu rasa. Hidang dengan roti keping Gardenia yang baru dibeli malam sebelumnya. "Ohh...nyum nyum nyum sedap nya gulai orang kelantan ni....hehe".

Nak try buat? Ok , jom tengok resipinya, mana tau ada kawan2 yang dari luar Kelantan ingin cuba "bergulai".... :D

Bahan-bahannya:

  • Ayam setengah ekor dipotong dan dibersihkan
  • santan RM0.50 sen *memang nampak sikit santannya tapi kuahnya nanti akan cantik sebab masak guna api kecil*
  • rempah kari ayam 1 paket(kalau paket biasa brand Adabi) *macam saya, guna rempah kari dari Kelantan....tapi takpe, boleh je guna apa2 brand sekalipun....saya kalau terputus bekalan pun guna je rempah kari mana2*
  • ubi kentang 4 biji
  • # bawang merah besar(bawang India) 3 labu
  • # halia 1 setengah inci
  • # bawang putih 1 atau 2 ulas
  • # cili kering 5 tangkai direndam, dibersihkan
  • rempah 4 sekawan(kulit kayu manis +++)
  • 2 asam keping
  • garam secukup rasa
  • manisan/gula melaka secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menumis
Cara membuatnya:
  1. Mesin bahan yang bertanda # kemudian tumiskan kesemuanya. Kemudian masukkan rempah 4 sekawan. Dikacau-kacau sebentar sebelum diikuti dengan rempah kari yang telah dijadikan pes(campur sedikit air masak)
  2. Biarkan rempah betul2 masak.
  3. Kemudian masukkan ayam, balik2kan biar bersalut dengan rempah di dalam periuk. Masak guna api kecil kalau tidak dikhuatiri hangit pula jadinya.
  4. Biarkan ayam kecut dan masak sebati...*langkah ini orang Kelantan bagi gelaran "Matti Hawas .... ;p
  5. Masukkan asam keping.
  6. Ok, sampai time masukkan santan dan 'air masak'. Curahkan perlahan2 'air masak' di sekeliling bahan dalam periuk*bukan bump di tengah2*
    diikuti santan. Godek2kan santan dan air biar bercampur. Bahan2 ditengah biarkan saja tenggelam perlahan2, jangan dikacau*
  7. Bila santan dah mula menggelegak, masukkan kentang. Biarkan masak dengan menggunakan api kecil. Gulai bolehlah di kacau sekali-sekali.
  8. Bila kentang dah empuk, bolehlah dimasukkan garam dan manisan.
  9. Gulai dah sedia untuk dihidangkan. Gulai yang dimasak tengahari akan lebih terasa sedapnya bila nak makan untuk time dinner. Orang kata dah "berpalut"rasanya, berbeza dengan rasa baru2 masak...... hehe

Selamat bergulai.... :)

Monday

Pulut Durian



Saya suka sangat pulut durian. Suami pun suka. Namun anak2 tak berapa gemar sangat. Kalau yang berminat pun mungkin abang je *anak yang sulung*. Teringat satu ketika, kakak balik bercerita yang seorang kawannya bawak kuah durian kat asrama. So menjamu lah mereka beramai2 makan kuah durian dengan roti. Satu kisah lagi, semasa saya ke rumah seorang kawan satu waktu dulu, beria2 kawan saya tu mintak jamah pulut durian yang baru dibuat sebelum saya pulang. "Ting" dalam fikiran saya dah terbayang pulut durian yang macam saya buat...tapi rupanya lain cara penyediaannya... kawan kakak dan kawan saya dua2 buat cara masak macam nak buat pengat.... sedap tu tetap sedap rasanya.... Nak cuba cara saya? Jom semak resepinya....


Bahan-bahannya:

  • buah durian
  • 2 cawan pulut dikukus/tanak
  • santan pekat RM1
  • garam
  • gula
Cara menyediakannya:
  1. Santan dicampurkan dengan air panas yang dah agak2 suam sedikit *tak perlu dimasak*. Biar jadi sederhana kadar kepekatannya. Jangan terlalu pekat atau cair sangat. Sedang-sedang gitu... Kemudian campurkan garam secukup rasa.
  2. Hidangkan dalam pinggan/mangkuk yang berasingan: pulut yang dah siap ditanak, durian, santan dan gula. Bila hendak dimakan baru dicampurkan kesemua bahan *seperti dalam gambar*.

Selamat mencuba bagi yang belum pernah cuba cara ini. Mmmm....lain cara lain rasa...jom pelbagaikan menu *nak sedap kena makan pakai tangan, bukan dengan sudu... baru la real...* ;p

Sunday

Bihun rebus

Kalau di waktu2 petang perut terasa lapar, sedangkan kueh2 petang pun takde, elok juga kalau buat bihun rebus ni. Mudah dan cepat untuk menyediakannya. Dalam 15 minit boleh siap. Kalau rasa tak nak bihun boleh je ditukar kepada mee kuning atau macaroni.

Bahan-bahannya:

  • 1/3 kampit bihun cap bintang
  • 1 keping isi ayam dipotong kiub
  • 2 keping isi ayam *tambahan*(yg lebih buat sup/ayam bakar pun boleh)
  • kobis dan sawi
  • 4 ulas bawang putih diketuk
  • 1 inci halia diketuk
  • lada hitam/sulah 8 - 10 biji ditumbuk
  • bawang goreng
  • garam
  • gula
  • kicap + sambal belacan(digaul mesra)
  • hirisan limau nipis
Cara membuatnya:
  1. Bihun direndam kemudian dicelur dalam air panas. Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak masak, tumis lada hitam diikuti bawang putih dan halia.
  3. Masukkan ayam kiub dan isi ayam tambahan yang tidak dihiris. Biarkan ayam kecut dan masak. Masukkan air secukupnya sesuai dengan kuantiti bihun. Biarkan masak dengan api yang sederhana.
  4. Masukkan sayur-sayuran.
  5. Tambahkan garam dan secubit gula.
Cara menghidangkannya:
  1. Masukkan bihun di dalam mangkuk.
  2. Tambahkan kuah yang telah dimasak tadi.
  3. Taburkan isi ayam *tambahan* yang telah disiat-siatkan
  4. Taburkan bawang goreng
  5. Perahkan asam limau nipis.
  6. Makan lah dengan kicap pedas mengikut citarasa sendiri.

Saturday

Ikan Cencaru Sumbat

Bila sebut ikan cencaru sumbat, terbayang 2 cara untuk memasaknya samada nak bakar ataupun goreng. Saya selalu memilih untuk menggorengnya saja, nak cepat siap lah katakan.... hehe

Orang Kelantan panggil ikan cencaru ni 'ikan Keronge'.... biasalah gelaran dan pelat daerah masing-masing. Apa2 pun ikan cencaru sumbat ini memang membangkitkan selera lebih2 lagi jika digabungkan dengan lauk2 lain dalam hidangan seperti sayur masak lemak dan sotong garam kunyit. Lebih umph lagi jika ada budu durian dan ulam-ulaman. Mmmm...Sedapnyer....


Bahan-bahannya:

  • 2 ekor ikan cencaru disiang dan boleh dibuang kulit belakang/sebaliknya
  • 6 tangkai cili kering direndam, dibasuh bersih
  • 1 labu bawang merah besar(bawang India)
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 sudu kecil(penuh) asam jawa dibuang biji
  • garam
  • gula
Cara membuatnya:
  1. Ikan cencaru dibelah belakang dua-dua side. Kemudian lumurkan garam pada luaran ikan. Ketepikan.
  2. Tumbuk cili kering yang sudah dibersihkan. Apabila sudah lumat, masukkan bawang putih diikuti dengan bawang merah. Bawang tidak begitu lumat pun tidak mengapa.
  3. Campurkan asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
  4. Mulai menggoreng atau membakar.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

Friday

Roti Jala


Roti Jala ini sesuai sangat untuk dihidangkan sebagai sarapan pagi, minum petang atau untuk meraikan tetamu. Bahan2 untuk resepinya pun tidaklah rumit, kalau dah ada tepung tu dah kira boleh buat. Yang lain2 tu benda2 sampingan je. kalau tidak ada masih jadi juga roti jala....hehe... Satu lagi yang kena ada tentulah alat untuk menjalanya. Satu masa dulu saya gunakan acuan yang jenis tembaga tu. Tapi bila dah lasak digunakan, patah lah pulak salah-satu corong matanya. Dah tak boleh nak guna. Nak senang cerita, selepas kejadian itu, saya beli je acuan plastik. Rasanya lebih senang, reliable dan praktikal.

Bahan-bahan roti jala:

  • tepung 500gm ditapis(setengah supik)
  • telor 1 biji
  • santan pekat 1/4 cawan
  • secubit kunyit
  • garam secukup rasa
  • air secukupnya
Cara penyediaan:
  1. Campurkan kesemua bahan dalam satu mangkuk, kacau-kacaukan.
  2. Masukkan adunan ke dalam mesin pengisar jus, mesin hingga sebati.
  3. Panaskan ceper dan lenserkan minyak dengan menggunakan daun pandan yang digulung dan diikat.
  4. Mula mengirai roti jala. *Kecairan adunan lebih-kurang sama macam nak buat kueh ketayap/kueh gulung. Kadar pekat cairnya boleh di tambah atau dikurangkan bergantung kepada tahap lajunya adunan keluar dari acuan roti jala. Jika keluarnya agak laju, eloklah ditambah sedikit tepung agar lebih lambat flow nya*
  5. Biarkan masak selama beberapa minit, boleh terus diangkat tanpa perlu dibalik-balikkan kepingan roti jala. Tindankan roti jala yang sudah siap selapis demi selapis dalam pinggan sehingga adunan habis dijalakan.
  6. Roti jala yang dah siap boleh digulung seperti menggulung kueh ketayap/di lipat menjadi bentuk kipas sebelum dihidangkan. *Sedap dihidangkan dengan gulai ayam/daging*
Sekian, Wassalam.

Thursday

Sambal Belacan


Sambal belacan bagi lain orang lain caranya. Contoh yang jelas, semasa berbual tentang sambal belacan dengan 2 orang rakan saya, ketiga2 kami mempunyai cara yang berbeza dalam menyediakannya.

Nak cuba cara saya? Jom kita semak, mana tau mungkin cara kita sama....


Bahan-bahannya:

  • cili merah 5 - 6 tangkai
  • cili api segenggam
  • buah tomato sebiji yang sederhana besar
  • belacan sebesar ibu jari *dibakar terlebih dahulu*
  • perahan air limau nipis
  • garam
  • gula
Cara membuatnya:
  1. Buang kesemua tangkai cili dan biji cili merah*kalau boleh elakkan dari mesin bersekali dengan biji cili merah* kemudian basuh bersih.
  2. Masukkan kesemua bahan dalam blender dan kisarlah. Kalau pengisar tak bergerak, off kan dan kocak2 kan jug blender dan kemudian kisar lagi. Ulangi proses dua tiga kali. Jangan ditambah air sebab buah tomato dah banyak air.
  3. Ok! Siap untuk dihidangkan! *untuk lebih tahan lama, elok disimpan di tempat beku. Keluarkan awal2 sebelum tiba masa makan. Jadi tidak lah kena buat sambal yang baru setiapkali nak makan sambal belacan*

Sambal Kacang Ikan bilis


Masakan ini berkonsep kering dan amat sesuai jika hendak dijadikan sebagai makanan ringan. Sedap dimakan begitu saja atau dijadikan inti bagi roti keping. Kalau untuk dibawa berkelah elok benar sebagai lauk tambahan bagi nasi lemak. Saya boleh kata selalu lah juga buat sambal kacang ikan bilis ni untuk dijadikan bekalan anak2 yang tinggal di asrama. Lebih2 lagi jika di bulan puasa, ianya dapat jadi lauk alternatif buat anak2 saya waktu bersahur di dewan makan asrama kalau kebetulan lauk di DM kurang kena dengan selera atau anak2 sendiri kurang berselera. Jika disimpan di dalam botol kedap udara InsyaAllah kerangupan ikan bilis dan kacang tetap terpelihara dan tahan lama. Kalau kena gayanya boleh tahan sampai 2 minggu.

Caranya mudah sahaja....

Bahan-bahan:

  • Ikan bilis yang dibeli siap bersih(dah dibuang kepala) RM5
  • kacang tanah segenggam
  • bawang merah besar 1 labu(2 kalau yang agak kecil)
  • bawang putih seulas
  • Cili kering 5 - 6 biji *direndam seketika, dibasuh dan dimesin bersama bawang merah dan bawang putih*
  • air asam jawa
  • garam
  • gula
Cara membuatnya:
  1. Mula2 panaskan minyak di dalam kuali. Setelah dibasuh bersih dan ditoskan, goreng kacang tanah sehingga masak dan kelihatan rangup. Api jangan terlalu besar, dikhuatiri kacangnya tak masak sebaliknya hangus.
  2. Selepas keluarkan kacang dari kuali, goreng pula ikan bilis yang telah dibasuh bersih. Gorenglah sehingga masak dan juga sampai kelihatan rangup. *hendaklah digoreng kacang terlebih dahulu, kalau goreng ikan bilis dulu minyak akan kotor dan tak boleh digoreng kacang selepas itu* Setelah siap, ketepikan buat sementara.
  3. Buang minyak di dalam kuali, gantikan dengan minyak lain untuk menumis.
  4. Tumis bahan2 yang dimesin. Biar sampai masak dan bertukar warna.
  5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.*lebihkan kuantiti gula supaya dapat kurangkan rasa masin ikan bilis*
  6. Gunakan api yang kecil supaya sambal masak cantik dan likat. Setelah agak pekat dan warna dah jadi agak gelap tutup api dan biarkan sejuk untuk seketika.
  7. Campurkan sekali ikan bilis, kacang dan sambal yang sudah ditumis, gaul rata dan biarkan sejuk baru boleh dimasukkan ke dalam botol.

Wednesday

Kerabu Kacang Panjang

Gambar kerabunya belum ada lagi. Nanti bila2 buat, InsyaAllah akan saya up-date kan kemudian. Tak sabar nak tunggu, ada gambar baru postkan N3. Jadi intro bagi blog Menu ini resepinya tanpa gambar... ;p

Kerabu ini memang menjadi faveret suami dan anak2 saya. Kalau beli kacang panjang, semua berebut mintak buat kerabu. Senang cara buatnya. Tak ada masalah kalau ada ikan kat rumah, tak kira ikan kembong ke, selar kuning atau sardin sekalipun*kalu tak silap saya oghe kelate panggil ikan sardin tu ikan selayang*

Jemput tengok resipinya.....


Bahan-bahan:

  • Kacang panjang RM1/seikat

    Bahan A:
  • Ikan kembong seekor(kalau ikan selar kuning 3/4)
  • lada hitam/lada sulah
  • bawang merah besar(bawang India) 1 labu

Bahan B:
  • bawang merah besar 1/2  labu di mayang
  • cili merah dimayang
  • kelapa parut untuk dibuat kerisik
  • garam
  • gula
  • asam limau nipis/limau kasturi
  • santan RM1
Cara membuatnya:
  1. Ok! Mula2 sekali mayang kacang panjang halus2 kemudian direbus sekejap, jangan sampai layu. Kemudian tos dan ketepikan buat sementara.
  2. Panggang ikan jadi ikan bakar(kalau saya nak cepat saya rebuskan saja dengan sedikit air).
  3. Sediakan kerisik: Goreng lebihkurang secawan kelapa parut tanpa minyak sehingga garing dan warna bertukar menjadi perang. Tumbuk kelapa hingga nampak keluar minyak Ok dah siap kerisik *kerisik ni kalau tengah rajin saya buat lebih sikit, boleh simpan tempat beku, bila nak guna senang, benda dah ada*
  4. Tumbuk lada hitam, kemudian tumbuk bawang dari bahan A, tak lumat sangatpun tak mengapa. Kemudian masukkan ikan yang dipanggang/rebus tadi, tumbuk lagi.
  5. Bila dah siap 4 peringkat tadi, kita dah hampir ke garisan penamat....hehe...dah nak siappun. Campurkan semua yang dalam lesung tadi, kacang panjang dan kesemua bahan B dalam satu mangkuk besar. Kacau-kacaukan hingga rasanya serasi.... masin ada, manis dan masam... Selamat mencuba!

Dari 'Amr bin Abu Salamah r.a, katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku: "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)


Menu A - Z